Pada minggu lalu kita dikejutkan dengan pengumuman 2 sekolah di Petaling Jaya yang ditutup akibat jangkitan dan penularan virus selesema babi di sekolah tersebut. Walaupun PJ masih agak jauh dari tempat kita tetapi dalam beberapa hari saja, kita sekali lagi disedarkan betapa jarak itu bukan pengukur yang selamat kerana virus H1N1 disahkan sudah menular di kawasan luar bandar dan bahkan di negeri kita sendiri. Berikut merupakan petikan kenyataan dari akhbar Berita Harian Online, 28 Jun 2009.
KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat, Sabah, menjadi sekolah luar bandar pertama ditutup sehingga 1 Julai, berikutan jangkitan selesema babi (H1N1) menyebabkan 42 guru dikuarantin di rumah.
Ketiadaan tenaga pengajar yang dikuarantin sehingga 29 Jun depan menyebabkan pentadbiran sekolah menutup sekolah berkenaan walaupun Kementerian Kesihatan hanya mengarahkan dua kelas ditutup untuk kuarantin, Khamis lalu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pihaknya memandang serius perkembangan yang berlaku di sekolah berkenaan dan akan meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi menangani penularan virus H1N1 itu.
"Ini adalah sekolah luar bandar pertama disahkan positif H1N1. Kita mengambil langkah menutup sekolah walaupun kes membabitkan hanya seorang guru kerana guru lain dan kakitangan sekolah turut dikuarantin.
"Jawatankuasa Induk 3K (Keselamatan, Kebersihan dan Kesihatan) memandang serius perkara ini penyakit ini sudah menular ke kawasan pedalaman atau luar bandar," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, di sini, semalam.
Turut dikuarantin di rumah, 76 murid dari dua kelas dan 10 kakitangan kerana menjadi kontak dekat kepada kes H1N1 ke-97. Lima belas kontak terdekat dengan mangsa membabitkan ahli keluarga dan rakan juga dikuarantin di rumah.
Sementara itu, sesi persekolahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson di sini, bermula semalam seperti biasa. Hampir semua murid, termasuk kes pertama murid disahkan positif virus H1N1 di sekolah berkenaan memulakan persekolahan seperti biasa.
Wee berkata, semua murid yang hadir diambil suhu badan oleh guru kelas masing-masing, dibantu pegawai Kementerian Kesihatan selain diarahkan membersihkan tangan sebelum berhimpun di dewan untuk sesi penerangan dan kesedaran mengenai H1N1.
"Pelajar (yang disahkan H1N1 sebelum ini) itu hadir hari ini (semalam). Beliau keluar dari hospital, Rabu lalu dan bebas daripada wabak berkenaan," katanya.
Selain itu, Wee menegaskan semua penyertaan membabitkan guru dan murid ke luar negara perlu ditangguh atau dibatalkan sehingga wabak ini reda bagi mengelak penularan H1N1 yang lebih serius.
Katanya, guru atau murid yang baru pulang dari luar negara sama ada negara yang dijangkiti H1N1 atau tidak juga perlu memaklumkan kepada maka mereka perlu memastikan perintah kuarantin tujuh hari dipatuhi.
Nota: Hanya sekadar satu peringatan supaya kita sentiasa mengambil langkah berjaga2.... seorang anak saudara saya yang berasal dari Kg Talantang 1 masih dirawat di ICU hospital Queen Elizabeth sampai sekarang sejak beberapa minggu yang lalu kerana disahkan telah dijangkiti virus JE(Japanese B Encephalitis), sejenins virus yang juga berasal dari babi. Sama2 kita doakan agar anak ini akan pulih secepat mungkin.